KUALA LUMPUR, 11 Nov: Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memberikan perhatian terhadap pelbagai usaha untuk menjadikan atlet negara kebanggaan rakyat Malaysia.
Timbalan Menterinya, Adam Adli berkata kementerian melalui Majlis Sukan Negara telah menganjurkan Anugerah Sukan Negara pada setiap tahun sebagai mengiktiraf kejayaan menerusi pelbagai temasya sukan.
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi pihak kerajaan kepada atlet, jurulatih dan pegawai sukan yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Syed Ibrahim meminta penjelasan berhubung perancangan kementerian berkenaan dalam meletakkan martabat kejayaan atlet yang mengharumkan nama negara sebaris kejayaan ikon serta tokoh sektor-sektor lain.
Dalam pada itu Adam berkata, sebagai sebahagian usaha untuk meraikan dan menghargai kesungguhan atlet negara, Kementerian ini melalui Majlis Sukan Negara telah mewujudkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sejak 1986.
Katanya, pemenang pingat di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik akan menerima insentif tertinggi sebanyak RM1 juta bagi pingat emas, RM300,000 pingat perak dan RM100,000 untuk pingat gangsa.
“Sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada atlet dan jurulatih yang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, khususnya di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik, Sukan Asia dan Para Asia, Sukan Komanwel, Sukan SEA dan Para ASEAN serta kejohanan-kejohanan individu di peringkat dunia yang diiktiraf oleh Badan Sukan Antarabangsa,” katanya. – TVS