KUCHING, 15 Nov: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) bekerjasama menganjurkan Sukan Perpaduan bermula 18 hingga 19 November ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sukan itu yang kali pertama dianjurkan akan melibatkan ahli jawatankuasa kementerian.
“Pelbagai acara yang akan dipertandingkan termasuk golf, boling tenpin, badminton, bola jaring dan boling padang.
“Semua ahli jawatankuasa KBS akan berkunjung ke Sarawak untuk sertai acara dipertandingkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, Sukan Perpaduan dianjurkan dengan objektif untuk mewujudkan persefahaman dan menghormati masyarakat.
“Selain itu, kita juga mahu mengeratkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak. Ia juga mampu melahirkan masyarakat yang faham dan hormat budaya semua kaum,” katanya.
Pada hari penutup sukan itu, Abdul Karim berkata, acara akan dimeriahkan dengan sukan rakyat seperti bola sepak kain sarung tarik tali di Stadium Sarawak.
Majlis perasmian bakal disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Emart Megalanes, Batu Kawah. -TVS