KUCHING, 15 Nov: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak memikul tanggungjawab yang besar berikutan skop tugasnya.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, ini kerana KPWK berurusan dengan golongan wanita, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
Katanya perkara ini menyaksikan wujud cabaran tertentu yang perlu dipikul dan seterusnya memerlukan kepimpinan yang luar biasa.
“Kenapa namanya begitu panjang?
“(Ini kerana) tanggungjawab kementerian ini (berat kerana) menjaga seseorang (bermula dari) dilahirkan sampai ke liang lahad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesejahteraan Bersama Sarawak (HKB Sarawak) 2023, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri KPWM, Dato Sri Fatimah Abdullah.
HKB Sarawak 2023 menekankan keterangkuman dan kesepaduan intergenerasi bagi kesejahteraan komuniti.
Ia bertujuan untuk memupuk kesepaduan dalam kalangan komuniti di Sarawak agar keharmonian sosial akan terus kukuh serta menjalinkan kerjasama bagi menangani cabaran sosial.
Program ini dianjurkan oleh KPWK dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.
Seramai 350 orang peserta termasuk kanak-kanak, warga pendidik, pengasuh, warga emas, ibu bapa dan OKU hadir pada program ini. – TVS