DARO, 15 Nov: Seramai 23 orang pelajar yang berjaya mendapat tawaran kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) menerima insentif tunai sumbangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro dan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro, Safiee Ahmad berkata setakat ini, seramai 427 orang pelajar mendapat manfaat selepas insentif itu diperkenalkan pada 2016 dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM106,550.
Pemberian tunai itu katanya, bertujuan meringankan beban pelajar selain sebagai galakan kepada penerima untuk lebih berjaya dalam bidang pendidikan.
“Antara matlamat murni pemberian insentif ini adalah untuk memperkasakan akademik dalam kalangan anak muda selain pelbagai program yang dilaksanakan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan di sini, semalam.
Safiee berkata, jumlah anak Daro yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT menunjukkan peningkatan ketara sejak program itu diperkenalkan tujuh tahun lalu.
Pada masa yang sama katanya, perkembangan positif itu juga membuktikan kesungguhan mereka untuk membina masa depan melalui kejayaan dalam bidang pelajaran.
“Perkara yang kita laksanakan ini tidak sebesar mana, tetapi yang penting kita mahu menzahirkan rasa syukur dan bangga selain berkongsi kegembiraan atas kejayaan anak-anak Daro.
“Semoga dengan usaha yang tidak seberapa ini mampu memberi suntikan semangat agar mereka berusaha bersungguh-sungguh sekali gus menjadi motivasi kepada adik-adik mereka yang masih belajar di sekolah menengah atau sekolah rendah,” ujarnya. – TVS