KUCHING, 15 Nov: Dua rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan pengurusan karbon di Sarawak akan dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bermula 20 November ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata kedua-dua RUU itu akan melibatkan alam sekitar dan elektrik.
“Kami akan membentangkan dua rang undang-undang baharu, yang pertama berkaitan dengan elektrik dan kedua ialah alam sekitar.
“Kedua-dua perkara ini akan melibatkan pengurusan karbon,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Alam Sekitar Borneo (BEnConf) 2023 di sini, hari ini.
Dedahnya lagi, undang-undang itu adalah perkara yang baharu dan tidak wujud dalam mana-mana perundangan di Malaysia atau Sarawak.
Dr Hazland berkata penggubalan undang-undang itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengukuhkan lagi penggunaan tenaga hijau sejajar usaha Sarawak mengurangkan kesan pemanasan global.
Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa projek solar terapung di Empangan Batang Ai telah siap dua tahun lalu.
“Kami telah memulakan projek solar terapung di Batang Ai yang mampu menjana 50 megawatt elektrik,” katanya. – TVS