DARO, 15 Nov: Daro Da’o Night Market atau Pasar Malam Daro bakal menjadi satu lagi tarikan baharu pengunjung ke daerah ini yang sememangnya terkenal dengan pengeluaran produk berasaskan pertanian dan perikanan.
Pasar malam yang beroperasi bermula 5 petang hingga 10 malam setiap Selasa dan Rabu itu di bawah seliaan Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pembukaan tapak tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana malam di Daro tetapi juga menyediakan platform peniaga kecil Daro menjana pendapatan mereka.
“Ini merupakan satu lagi inisiatif MDMD untuk menyediakan platform khusus kepada para usahawan yang sebahagian besarnya penjaja kecil.
“Kita menyediakan tempat untuk mereka menjalankan aktiviti peniagaan,” katanya ketika dihubungi selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Daro Da’o Night Market, semalam.
Menurutnya, pasar malam itu bukan sahaja menjadi tarikan penduduk tempatan, malah dijangka menarik kehadiran pengunjung luar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga menggesa peniaga mengutamakan kebersihan bagi mengekalkan imej tapak berkenaan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong.
“Saya berharap peluang yang disediakan ini dimanfaatkan sepenuhnya penjaja meningkatkan pendapatan mereka selain memberi lebih banyak pilihan kepada penduduk mendapatkan pelbagai jenis jualan sama ada makanan, minuman dan keperluan yang lain,” katanya. – TVS