KUCHING, 14 Nov: Ahli akademik dan pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) digalakkan menyertai program ‘Train The Trainer’ (TTT) bagi menambah kemahiran mereka dalam reka bentuk litar bersepadu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata tenaga pengajar seterusnya akan membimbing para graduan untuk menjadi pereka dan jurutera litar bersepadu yang mahir.
“Program ini memastikan mereka memiliki kemahiran yang diperlukan bagi mengurus sesi latihan dengan cekap untuk membimbing dan membolehkan graduan cemerlang dalam bidang semikonduktor khusus ini,” katanya pada Majlis Perasmian Train The Trainer: Talent Development in Semiconductors and Chip Design di sini, hari ini.
Program TTT yang dijalankan dengan kerjasama rakan kongsi Melexis dan Synopsis meliputi latihan Reka Bentuk IC Analog, Susun Atur IC Analog dan Ujian IC.
Ahli akademik yang berminat dialu-alukan menghadiri Seminar Reka Bentuk IC dan Electronic Design Automation (EDA) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 20 dan 21 November ini. – TVS