Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suasana pilu menyelubungi apabila anggota keluarga menuntut mayat M. Krishna dan adik lelakinya, M. Pavilesh dan sepupu mereka N. K. Subash Varman di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini. Foto: Bernama

Tiga saudara rentung kemalangan baru selesai hantar juadah Deepavali kepada nenek

ByBernama

IPOH, 14 Nov: Tiga bersaudara yang rentung dalam kemalangan jalan raya di Kawasan Perindustrian Bercham dekat sini, malam tadi baru selesai menghantar juadah Deepavali ke rumah nenek mereka di Taman Perpaduan di sini petang semalam.

Insiden yang berlaku kira-kira 8 malam itu mengorbankan M. Krishna, 20, yang memandu kereta jenis Proton Perdana, adik lelakinya, M. Pavilesh, 16, dan sepupu mereka N. K. Subash Varman, 16.

Bapa mangsa, M. Manimaran, 50, berkata kedua-dua anaknya Krishna dan Pavilesh keluar dari rumah mereka di Taman Cempaka kira-kira 4 petang semalam.

Beliau berkata mereka berdua mengambil sepupunya Subash Varman yang tinggal di Bercham kerana mahu menghantar beberapa jenis lauk yang dimasak oleh isterinya sempena Deepavali ke rumah nenek mereka.

“Saya dapat bercakap dengan anak saya (telefon) pada pukul 6 petang dan memberitahu mereka mahu ke rumah kawannya terlebih dahulu sebelum pulang.

“Saya cuba menghubungi mereka sekali lagi kira-kira 7 malam namun panggilan tidak berjawab.

“Saya cuba cari rumah kawan dia tapi tidak jumpa dan saya buat keputusan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Taman Cempaka pada 10 malam tadi kerana tidak sedap hati,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.

Manimaran berkata kira-kira 15 minit selepas laporan polis dibuat, pegawai polis datang ke rumahnya dan memaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa kesemua mangsa berkenaan.

Menurutnya anak sulung daripada tiga beradik itu bekerja di sebuah kedai aksesori manakala anak kedua pula masih bersekolah Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan di sini.

“Anak-anak saya sangat manja dengan nenek mereka dan sering ke rumah nenek pada hujung minggu atau cuti umum,” katanya dan menambah mereka sekeluarga tidak menyambut Deepavali tahun ini kerana kematian abangnya pada April lepas.

Sementara itu,  bapa kepada Subash Varman, L. Nantha Kumar, 41,  berkata kematian anak sulung daripada dua beradik itu amat mengejutkan mereka sekeluarga.

Beliau berkata Subash Varman merupakan seorang anak yang baik dan sering membantu mereka.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah Tanjung Rambutan hilang kawalan lalu bertembung dengan lori sampah dari arah bertentangan, ketika melalui jalan selekoh.

Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut tersepit di bawah lori sampah lalu terbakar dan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori sampah dan empat orang kelindan pula tidak mengalami kecederaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan