IPOH, 14 Nov: Tiga individu rentung apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori sampah, di Kawasan Perindustrian Bercham dekat sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya, menerima panggilan pada pukul 8.05 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan dibantu BBP Tambun serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham, dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Perdana dengan anggaran kemusnahan kebakaran kira-kira 95 peratus.
“Kemalangan itu dipercayai berpunca kereta tersebut merempuh bahagian hadapan lori sampah yang turut terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata bantuan kren digunakan untuk mengalihkan lori sampah tersebut dan setelah dialihkan didapati kesemua mangsa yang rentung berada dalam kereta berkenaan.
“Pihak bomba menggunakan dua aliran hos bersumberkan air tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya menambah operasi tamat pada 11.35 malam.
Beliau berkata maklumat kesemua mangsa masih belum dapat dikenali pasti. – TVS