Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kelihatan menitiskan air mata ketika melihat paparan video berkaitan sekolahnya yang dibina di bumi Gaza di bawah Yayasan Nur Jiwa pada Program BizJihad oleh Lembaga Zalat Selangor (LZS) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 13 hari ini.Foto Bernama.

Pelajar, petugas Sekolah Afwa Al Afiyah selamat tiba di selatan Gaza – Siti Nurhaliza

ByBernama

SHAH ALAM, 14 Nov: Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bersyukur kesemua pelajar dan petugas sekolah Afwa Al Afiyah di Gaza, Palestin yang dibangunkan menerusi Yayasan Nurjiwa berada dalam keadaan baik dan selamat sampai di selatan negara itu.

Beliau berkata buat masa ini hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi yayasan itu masih dapat terus diberikan walaupun dalam keadaan yang sangat meruncing memandangkan wakil yang juga kenalannya, Dr Mohanad masih selamat dan mampu mengendalikan sumbangan tersebut.

Siti Nurhaliza berkata tumpuan beliau dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kini bagi memberi bantuan keperluan asas termasuk makanan, air bersih dan selimut untuk penduduk di sana menerusi yayasan berkenaan.

“Sekolah itu mempunyai lebih 100 pelajar sekolah berumur seawal usia lima hingga lapan tahun dengan lebih 10 petugas yang masih meneruskan tugas mereka yang kini tertumpu kepada kerja amal untuk penduduk yang berada di selatan Gaza,” katanya pada sesi perkongsian program Bizjihad anjuran Lembaga Zakat Selangor di sini hari ini.

Program itu turut disertai Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun yang diadakan bagi berkongsi pengalaman kedua-dua tokoh itu mengenai kepentingan dan kewajiban mengeluarkan zakat serta kebaikan bersedekah.

Penyanyi nombor satu negara itu menceritakan, Dr Mohanad ada memaklumkan sebelum mereka bertolak ke selatan Gaza, keadaan sekolah Afwa Al Afiyah itu masih selamat daripada bedilan bom atau serangan tentera Zionis Israel.

Katanya setiap hari Dr Mohanad akan berulang alik dari tempat tinggal mereka ke hospital berdekatan untuk mendapatkan liputan Internet bagi berkongsi status mereka di sana untuk memastikan beliau dan suami tidak risau akan keadaan mereka.

“Sepanjang dua tahun sekolah ini beroperasi, ia melindungi kebanyakannya anak-anak yatim piatu. Namun syukur, walaupun Yayasan Nurjiwa tidak sebesar berbanding badan pertubuhan amal yang lain, kita dapat berikan bantuan terus kepada anak-anak di sana,” katanya sambil menahan sebak.

Jumlah korban akibat serangan berterusan tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt sudah melepasi angka 11,540 termasuk lebih 8,000 wanita dan kanak-kanak manakala 28,200 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Isnin.

Siti Nurhaliza berkata selain bantuan untuk rakyat Palestin, Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan sejak 2006 itu turut membantu mangsa banjir, golongan asnaf dan bantuan persekolahan dan perubatan untuk golongan kurang berkemampuan di Malaysia. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan