KUCHING, 14 Nov: Sarawak perlu memenuhi ruang lompong rantaian nilai industri semikonduktor negeri khususnya bagi sektor reka bentuk dalam usaha menyediakan satu ekosistem yang menyeluruh dan lengkap.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Microelectronic Design (SMD) Semiconductor, Shariman Jamil, ketika ini tumpuan lebih diberikan pada sektor pembuatan dan pengeluaran yang berada di hujung dan bawah rantaian nilai, berbanding reka bentuk cip yang lebih bernilai tinggi.
“Kuncinya di sini ialah kita memerlukan ekosistem yang lengkap, daripada reka bentuk, wafer, pengeluaran ujian kepada produk akhir.
“Sarawak perlu meningkatkan rantaian nilai ke arah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) mereka bentuk cip, kerana di sinilah nilai tambahan, juga margin tambahan,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Jelas Shariman, sudah tiba masanya Sarawak mereka bentuk litar bersepadu (IC) dan cip sendiri, selain menerajui sektor pembuatan semikonduktor negara.
Beliau berkata, penubuhan SMD Semiconductor adalah bertepatan dengan hasrat untuk menghasilkan komponen elektronik tempatan agar dapat digunakan secara lokal.
“Selain, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk meningkatkan eksport Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor pembuatan sehingga RM140 bilion menjelang 2030.
“Nilai sebenar adalah apabila kita mempunyai komponen tempatan sendiri dan itu adalah aspirasi kita (SMD Semiconductor). Sekarang tidak lagi memadai untuk menghasilkan produk orang lain. Kita hasilkan komponen jenama Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, pihaknya juga berhasrat untuk menarik lebih ramai graduan menceburi bidang itu yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir untuk membantu membangun industri semikonduktor tempatan.
Menurutnya, peluang pekerjaan dan pendapatan yang disedia dan diberikan oleh industri berkenaan adalah luas dan lumayan.
“Kita perlu melahirkan lebih ramai bakat tempatan untuk menjadi pereka cip atau semikonduktor yang profesional.
“Melalui program Train The Trainer, kami bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan rakan industri untuk membina kandungan (modul) yang bersesuaian dengan keperluan industri,” katanya. -TVS