SARIKEI, 14 Nov: Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) akan menganjurkan Karnival Kenyalang Tourism Booster (KTB) @ Sarikei 2023 yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Seberang di sini, pada 17 November hingga 19 November ini.
Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim berkata, sesi perbincangan iaitu rombongan ke Pejabat Residen Sarikei ini merupakan titik permulaan bagi program itu, di samping membincangkan program-program yang akan dijalankan semasa karnival berkenaan.
“Program ini dirancang pihak kami (KOBIS) sebagai langkah pemerkasaan usahawan sektor pelancongan menerusi aktiviti seperti Hibrid Tourism Forum dan juga Bengkel Homestay Moden,” katanya semasa perbincangan di Pejabat Residen Sarikei hari ini.
Sehubungan itu, katanya, penganjuran Karnival KTB @ Sarikei 2023 ini juga adalah sebahagian usaha bagi meningkatkan kedatangan pengunjung ke Sarawak seperti yang dinyatakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa Sarawak telah mencapai sasaran tiga juta kedatangan pengunjung tahun ini pada minggu pertama bulan Oktober.
“Pihak pemilik inap desa merupakan barisan hadapan industri pelancongan di Sarawak, justeru kami ingin menambah baik kualiti sektor pelancongan bagi peringkat tempatan,” katanya. -TVS