KUCHING, 14 Nov: Lebih ramai jurutera anak Sarawak yang bekerja di luar negara akan kembali bagi membantu membangunkan industri semikonduktor tempatan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, setakat ini beberapa bakat tempatan dalam industri itu telah pun kembali.
“Kami (Sarawak) telah pun mencari. Salah seorang yang telah kembali ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Pelancaran Train The Trainer: Talent Development In Semiconductors And Chip Design hari ini.
Menurutnya, jurutera-jurutera berkemahiran tinggi diperlukan bagi menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam sektor reka bentuk semikonduktor, malah Sarawak juga berhasrat untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan teknologi termaju.
“Berikutan permintaannya, Sarawak perlu mendapatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, terutamanya dalam domain bernilai tinggi reka bentuk IC untuk pembangunan cip.
“Kemahiran ini sangat dicari, baik di Sarawak dan di seluruh dunia, menjadikannya salah satu kemahiran yang paling diminati dalam pasaran kerja hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor memaklumkan jurutera tempatan yang telah kembali adalah dalam kalangan individu yang berkemahiran tinggi.
“Kebanyakan jurutera yang kini berkhidmat di bawah SMD adalah ‘Silicon Valley Trained’,” ujarnya. -TVS