KUCHING, 14 Nov: Seorang guru direman susulan dakwaan dia mencabul dua orang pelajar berumur 15 tahun di sebuah sekolah berasrama di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata suspek yang berumur dalam lingkungan 40-an merupakan warden asrama pelajar lelaki di sekolah berkenaan ditangkap pada 12 November. Suspek direman hari ini dan esok.
“Semasa mangsa demam, suspek telah membawa mangsa ke rumahnya di sekolah tersebut dengan tujuan menjaga mangsa.
“Semasa di rumah suspek, mangsa telah disentuh secara seksual semasa memandikan mangsa dan semasa mangsa tengah berehat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Sehubungan itu, dua laporan polis telah diterima daripada dua penjaga pada 12 November.
Mancha berkata, memandangkan si pelaku adalah seorang guru, suspek adalah seseorang yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
“Jika pelaku disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” tambahnya.
Sementara itu, kes masih dalam siasatan itu di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-sesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.
“PDRM Sarawak menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan prihatin dengan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian ini boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan kepada kanak-kanak sekiranya tidak dibendung lebih awal,” ujarnya. – TVS