KUCHING, 14 Nov: Dua individu di bandar raya ini berputih mata selepas rugi RM740,000 akibat diperdaya oleh ‘scammer’ menerusi Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kes pertama melibatkan seorang pesara wanita swasta berusia lingkungan 60 tahun yang ‘disapa’ oleh suspek menggunakan nama Aliana Soh pada bulan lepas.
Kata Mancha, suspek memaklumkan mangsa memenangi peraduan secara dalam talian dan dikehendaki memilih hadiah.
“Mangsa memilih hadiah bernilai USD 100, 000 sebelum suspek memberikan nombor telefon ejen untuk dihubungi bagi tujuan penebusan.
“Mangsa kemudian telah diminta membuat pelbagai bayaran oleh agen berkenaan sebelum dapat menebus hadiah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mancha berkata, mangsa secara keseluruhan membuat 17 transaksi pemindahan wang melibatkan RM200,000 kepada enam akaun berbeza.
“Mangsa hanya menyedari tertipu selepas diminta untuk membuat bayaran tambahan sedangkan hadiah yang dijanjikan belum diterima,” katanya.
Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia lewat 50-an yang mengenali suspek bernama Chong menerusi Facebook.
Jelas Mancha, mangsa terjerat selepas diperkenalkan kepada sebuah platform pelaburan cryptocurrency.
“Mangsa melakukan pemindahan wang sebanyak 43 kali dengan jumlah keseluruhan RM540,000 kepada 16 buah akaun bank berlainan.
“Lelaki itu hanya mendapat pulangan sebanyak dua kali berjumlah RM8,400 sepanjang menyertai pelaburan berkenaan dan menyedari ditipu selepas laman web Yomaex yang digunakan untuk tujuan pelaburan itu tidak dapat diakses,” katanya.
Beliau memberitahu, kedua- dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS