SRI AMAN, 14 Nov: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) amat diperlukan untuk membaiki klinik daif di kawasan luar bandar serta pedalaman Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, dalam konteks Sarawak, syarikat korporat seperti Petronas mungkin boleh melaksanakan program berkenaan.
Katanya, CSR membabitkan penambahbaikan klinik kesihatan di pedalaman akan memberi keselesaan kepada penduduk untuk mendapatkan rawatan perubatan terbaik.
“(Sebenarnya)Â keperluan memperbaiki klinik luar bandar merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun di daerah terpencil (sudah pasti kita) mengalu-alukan kerjasama korporat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Klinik Desa Ng Mepi dan lawatan tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP)Â di Rumah Lawin, Ng Mepi, Lubok Antu di sini hari ini.
Sementara itu Malcolm Mussen berkata, sekiranya terdapat pelaburan besar untuk membina hospital, ia mampu memacu sektor pelancongan perubatan di Sarawak.
“(Contoh seperti di) Batang Ai yang terletak berhampiran dengan sempadan negara, (sekiranya dibina hospital ia akan) mampu menarik warga asing untuk menerima rawatan sekali gus dapat menyumbang kepada pendapatan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau pelancongan perubatan kini semakin rancak di Sarawak apabila beberapa pusat perubatan termasuk Hospital Timberland menerima pesakit dari Kalimantan dan Jakarta, Indonesia. -TVS