TANJUNG MANIS, 14 Nov: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) akan memperkenalkan teknologi baharu dalam penghasilan bot fiber bagi memperkasakan keupayaan anak Sarawak menguasai industri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman berkata, usaha itu sejajar dengan perkembangan pesat industri berkenaan, sekali gus menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk.
“CENTEXS akan memperkenalkan teknologi baharu dalam penghasilan bot ini (gentian kaca). Teknologi itu memang sudah ada dan kita cuma perlu meneruskan kesinambungannya.
“Ini yang sedang kita usahakan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan pasukannya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kursus Pembuatan Bot Gentian Kaca di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau optimis hasrat tersebut mampu direalisasikan berikutan sambutan luar biasa setiap kali penganjuran kursus pembuatan bot diadakan di Tanjung Manis.
Malah katanya, hasil daripada program itu berupaya dikomersialkan oleh peserta yang menjalani latihan di pusat berkenaan.
“Kita hendak membuat sesuatu yang berlainan sedikit melalui inovasi terkini gentian kaca di Sarawak. Ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang akan kita laksanakan,” katanya.
Dalam pada itu,Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan bersedia menyediakan tapak bagi membolehkan pusat kemahiran seperti CENTEXS menjalankan aktiviti berkaitan di Tanjung Manis.
Katanya, usaha itu selaras dengan hasrat untuk melengkapkan kemahiran belia seiring dengan kepesatan pembangunan di Sarawak.
“Semua pihak khususnya penduduk Tanjung Manis perlu bekerjasama agar hasrat itu menjadi kenyataan. Ini kerana pembinaan sebuah kampus atau pusat kemahiran bergantung dengan justifikasi yang tertentu,” ujarnya. – TVS