DARO, 14 Nov: Sebanyak 41 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro berjaya dibaik pulih melalui Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin (PPRMS) Fasa Satu tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 571 buah rumah sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2018.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, inisiatif penting yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak itu dilihat amat membantu rakyat.
Malah ujarnya, usaha kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyediakan kemudahan berkenaan memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya golongan memerlukan.
“Ini kerana kita dapat membantu membaik pulih rumah mereka dengan segera selain menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa,” katanya ketika melakukan lawatan ke beberapa buah rumah yang menjalani baik pulih di bawah PPRMS, petang semalam.
Pada masa yang sama, Safiee bersama Ketua Pemuda dan Skuad Kasih Sayang Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Tengah turut mengadakan program ziarah sambil menyampaikan sedikit sumbangan bakul makanan kepada penduduk.
Sebelum itu, beliau juga berkesempatan menyerahkan sumbangan tongkat (walking frame) kepada Sapiah Gang di Kampung Tengah Daro bagi membantu memudahkannya bergerak dan menjalani aktiviti harian.
Semasa lawatan, penerima PPRMS menzahirkan penghargaan kepada wakil rakyat dan Premier Sarawak atas bantuan yang disediakan.
“Keadaan rumah yang usang dan bocor menyebabkan kami bimbang terutama pada musim hujan. Kini, selepas dibaik pulih keadaan menjadi lebih baik dan selesa,” ujar mereka.- TVS