SRI AMAN, 13 Nov: Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman merupakan platform terbaik bagi agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat bertukar maklumat.
Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata program itu membolehkan agensi kerajaan menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.
Pemimpin masyarakat pula dapat menyalurkan maklumat mengenai golongan yang memerlukan bantuan dalam kawasan jagaan masing-masing.
“Kita mesti mahu bekerjasama dengan pihak kebajikan sebab bantuan memang ada disediakan cuma ketua kampung dan ketua masyarakat mesti bekerjasama dengan pihak kebajikan.
“Kalau kita tidak melapor, pihak kebajikan tidak akan tahu sebab tanggungjawab ini lebih kepada ketua kaum,” katanya berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman di Dewan Surau An Nur di sini, semalam.
Antara pengisian program adalah sesi soal jawab bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman berkenaan manfaat pemegang Kenyalang Gold Card (KGC).
Menurutnya lagi, beliau mahu lebih ramai lagi masyarakat dapat terlibat dengan program pembangunan seperti ini agar mereka lebih faham dan tahu apa yang diusahakan kerajaan negeri.
“Kalau boleh lain kali jangan ketua kaum atau ketua masyarakat sahaja, kita perlu jemput setiausaha bendahari kalau boleh sekurang-kurangnya lima orang dari setiap JKKK yang terlibat hadir,” ujarnya. – TVS