KUCHING, 13 Nov: Pengalaman luas serta pengetahuan dimiliki oleh Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar menjadi faktor utama beliau dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi tempoh dua tahun bermula 16 November ini sehingga 15 November 2025.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, Mohamad Asfia merupakan individu paling layak untuk menjawat jawatan berkenaan latar belakang pendidikan yang tinggi di samping sikap profesional ketika mengendalikan Sidang DUN Sarawak.
Kata Jeniri, ini menyebabkan tokoh politik itu disegani dan dihormati bukan sahaja dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan malah ADUN pembangkang juga.
“Kita memerlukan individu yang dapat mengendalikan Sidang DUN Sarawak terutama ketika sesi berbahas yang menuntut profesionalisme dan wibawa seseorang speaker. Jadi bagi saya beliau memiliki kedua – dua sikap itu selain berintegriti tinggi dan pertuturan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang amat baik,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Jeniri mengulas perlantikan semula Mohamad Asfia ke jawatan berkenaan dan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, pelantikan semula Mohamad Asfia diyakini mampu melakar kejayaan yang lebih cemerlang dalam tempoh dua tahun perkhidmatannya nanti. -TVS