SHANGHAI, 13 Nov: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng di Pejabat Kerajaan Perbandaran, Daerah Huangpu bagi membolehkan kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan berhubung pelaburan serta hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, dalam lawatan rasmi sulungnya ke China dari 12-19 Nov bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan serta pembangunan termasuk membina kapasiti dalam bidang komoditi, khususnya untuk mempromosikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.
MPOB terus tingkat R&D untuk kembang produk sawit ke pasaran China dan negara Islam – Fadillah
Sementara itu, tahun ini, Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif manakala menjelang 2024, kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka.
Beliau juga di jadualkan menghadiri mesyuarat meja bulat peringkat tinggi dengan pemegang taruh utama dan pemimpin industri minyak sawit esok.
Fadillah juga akan mengambil peluang lawatan beliau ini untuk menyantuni diaspora Malaysia di Beijing dan Shanghai. China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas. -TVS