LIMBANG, 13 Nov: Penduduk di Limbang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan antara RM6,000 hingga RM7,000 untuk mendapatkan kemudahan van persendirian untuk membawa pesakit dan jenazah dari Kuching ke daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, masyarakat di kawasannya terpaksa membayar jumlah itu apabila mendapatkan khidmat van jenazah persendirian.
“Saya mempunyai dua pengalaman membantu penduduk di kawasan saya dengan kos yang agak banyak, saya rasa tidak kurang daripada RM6,000 hingga ke RM7,000 untuk mendapatkan van persendirian bagi membawa balik pesakit ke Limbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumpulan Dana Ambulans, Limbang Life Care Society di Dewan Suarah Limbang, malam tadi.
Paulus menambah lagi, usaha mendapatkan kemudahan ambulans ini amat diperlukan terutama untuk menghantar mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan ke Miri atau Kuching khususnya dari Limbang yang terpaksa melalui negara jiran untuk urusan keluar dan masuk.
Kerajaan katanya akan sentiasa memberi sokongan kepada usaha murni pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini sekali gus menyemai semangat suka membantu masyarakat khususnya kepada mereka yang memerlukan.
Paulus berkata, usaha Limbang Life Care Society mengumpul dana bagi mendapatkan kemudahan ambulans bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan di Sarawak wajar disokong.
Ujarnya, masih ramai lagi golongan kurang berkemampuan yang perlu dibantu bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan perubatan di hospital besar seperti di Miri dan Kuching. – TVS