KUCHING, 13 Nov: Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) boleh memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri media dalam membantu menyebarkan maklumat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AZAM yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) banyak membantu dalam memastikan komuniti luar bandar di Sarawak tidak ketinggalan memperoleh maklumat terkini berkenaan dengan agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan jalinan kerjasama bersama AZAM sebagai rakan strategik dalam mempromosikan Pelan Tindakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 dan ekonomi baharu.
“Terdapat keperluan untuk mempergiatkan pelaksanaan pembangunan PCDS 2030 untuk mencapai kemajuan sosio-ekonomi bagi memastikan kemakmuran yang mampan dan inklusif untuk rakyat dengan tumpuan khusus kepada masyarakat luar bandar,” katanya di Majlis Makan Malam Ulang Tahun AZAM ke-40 di Hotel Imperial di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakilinya di majlis itu.
Tambah beliau, Sarawak menghadapi pelbagai cabaran dalam merapatkan jurang komunikasi di antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Sarawak masih kekurangan pencipta kandungan dan tenaga mahir dalam pembangunan jurucakap. Namun, Sarawak sangat bertuah kerana hari ini, kita mempunyai stesen televisyen (TVS) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam membantu mengisi untuk membantu mengisi beberapa jurang komunikasi dan maklumat yang sedia ada.
“Melalui UKAS dan TVS, sebagai agen utama dalam menyebarkan maklumat, lebih banyak cerita dan maklumat berpaksikan Sarawak dapat disebarkan kepada umum di serata pelusuk negeri,” ujarnya.
Justeru, penglibatan bersama pengamal media adalah termasuk menyediakan pembinaan kapasiti kewartawanan sama ada media tradisional dan dalam talian perlu dipergiatkan.
“Penglibatan bersama ini adalah penting untuk meningkatkan kapasiti media tempatan sebagai agen yang berkesan dalam capaian maklumat berkaitan pembangunan negeri,” ujarnya.
Untuk rekod, AZAM membantu menggalakkan kesedaran dan penglibatan dalam bidang pembangunan mampan, ekonomi digital, pembangunan belia dan pembangunan media. -TVS