KUALA LUMPUR, 13 Nov: Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi tempoh dua tahun bermula 16 Nov ini sehingga 15 November 2025.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerusi kenyataan berkata lantikan kali kesembilan beliau sebagai Speaker DUN Sarawak berkuat kuasa bermula 16 Nov selepas lantikan kali kelapan berakhir pada 15 November 2023.
Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi beliau di sini, hari ini.
Dalam istiadat itu, Asfia turut menandatangani surat sumpah sebagai Speaker DUN Sarawak.
Turut hadir semasa majlis istiadat angkat sumpah itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Idris Buang, Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Saferi Ali, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Premier Sarawak, Dato Khir Busrah dan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Sarawak.
Asfia kali pertama dilantik sebagai Speaker DUN Sarawak pada 15 November 2000.
Beliau merupakan Lulusan Undang-Undang dari Leeds University, England dan memperoleh Barrister-at-Law dari Inner Temple, London.
Beliau juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi DUN Kuala Rajang (1979 hingga 1983) dan Serdeng / Semop (1991 hingga 2011).
Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Sarawak pada 1995 hingga 2000 sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Sarawak bermula 15 November 2000. – TVS