SEBUYAU, 12 Nov: Seorang usahawan perabot mengakui langkah mendaftarkan perniagaan telah memudahkan untuk menerima pelbagai bantuan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan.
Pemilik Syarikat Perabot Muhibah, Sahat Bujang berkata, dia memulakan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu namun hanya mendaftarkannya kira – kira tiga tahun lepas.
Sahat berkata, proses pendaftaran juga tidak serumit yang disangka dan dibantu menerusi program Jom Regista Bisnes (Regista) yang dilancar oleh Kerajaan Sarawak.
“Selepas daftar, saya memohon dan mendapat pelbagai bantuan untuk melengkapkan peralatan pertukangan di bengkel.
“Pada bulan pertama, saya menerima mesin mengetam papan yang disumbangkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas hadir program berkenaan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh di sini hari ini.
Tambah Sahat, dia juga telah diminta oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) untuk mengikuti kursus dan kemudian membuat permohonan untuk mendapatkan mesin lain.
“Bulan ini, saya memohon sebuah mesin lain dan kini kesemua mesin yang diperlukan sudah ada di bengkel,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi usahawan, Hajijah Johari berpendapat, program berkenaan juga memanfaatkan golongan wanita yang ingin menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Proses mendaftar tidak lama, hanya dalam tempoh sebulan sahaja.
“Selepas itu saya diminta untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum lesen diluluskan” katanya.
Program hari ini menyaksikan lebih 200 peserta yang majoriti usahawan wanita berjaya mendaftarkan perniagaan mereka. -TVS