Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menyerahkan Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (Versi 02-2023). Foto: TVS

Perluas projek pemetaan geologi ke seluruh Sarawak – Awang Tengah

KUCHING, 12 Nov: Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar bercadang untuk memperluaskan projek pemetaan geologi ke seluruh Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan projek tersebut dapat dilaksana secepat mungkin sekiranya mendapat peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri memperuntukan dalam RM16 juta tapi dalam soal ini kami memerlukan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Dalam mesyuarat tempoh hari yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim saya menyuarakan perkara ini dan saya memohon daripada RM300 juta untuk kita menjalankan kerja-kerja pemetaan geologi.

“Walaupun peruntukan RM300 juta itu dijangka tidak mencukupi untuk keseluruhan Sarawak tapi setidak-tidaknya dengan peruntukan itu kita akan dapat memperluaskan lagi pemetaan geologi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MUDENR di Hotel Grand Margerita di sini, semalam.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll itu berkata, pemetaan geologi amat penting bagi mengenal pasti keberadaan sumber mineral.

“Sarawak kaya dengan sumber mineral dan mempunyai potensi yang amat besar. Ini adalah penting bagi kita untuk mendapatkan data-data berhubung dengan mineral. Kebarangkalian untuk menemui sumber mineral terbaharu juga mempunyai potensi yang cukup besar.

“Sekiranya projek ini dipercepatkan kami dapat membuat perancangan dari segi industri hiliran berasaskan sumber mineral yang dapat diwujudkan bagi menjana ekonomi,” ujarnya.

Setakat ini pemetaan geologi telah dilaksanakan di kawasan wilayah Selatan Sarawak dan Wilayah Tengah Sarawak.

Terdahulu, Kerajaan Sarawak bercadang memulakan kajian dan pemetaan geologi dan mineral meliputi kawasan kira-kira 31,474 kilometer per segi (3.1474 juta hektar) bagi mengenal pasti keberadaan sumber mineral termasuk perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak amat berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu membiayainya yang kosnya dianggarkan RM300 juta. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan