LIMBANG, 12 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta menangani isu kenaikan harga barang terutama di Limbang dan Lawas yang disifatkan agak mahal susulan isu logisitik dan bekalan.
Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kenaikan harga barang dipengaruhi faktor logistik kemasukan barang yang melalui beberapa sempadan susulan kedudukan Limbang yang unik dan terletak di tengah negara jiran Brunei Darussalam.
Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan menambah kenaikan harga barang keperluan termasuk ayam amat meresahkan penduduk di dua daerah paling utara di negeri ini kerana harganya yang agak tinggi berbanding di daerah lain.
“Di Limbang ini yang sebenarnya bukan ayam sahaja naik harga tapi barang keperluan lain dengan kedudukan kami di antara dua daerah negara jiran kita ini banyak barang kita memang antara yang tinggi daripada daerah lain. Ini semuanya disebabkan oleh logistik kerana penghantaran barang terpaksa melalui berapa kali sempadan, daripada Miri dan Sabah yang ini perlu diambil kira.
“Jadi kita kerajaan melihat perkara ini khususnya kementerian berkaitan. Sebagai Ahli Parlimen Limbang, saya merayu kepada kerajaan supaya melihat perkara ini dan mencari penyelesaian untuk menangani ataupun melihat secara subsidi dan sebagainya tentang logisitik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Patimbun (SePaL) Excellence Award Ceremony (SEAC) 2023 hari ini.
Hasbi berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemangku Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali pada 6 November lepas, kementeriannya mendapati harga ayam di Lawas dan Limbang, Sarawak paling mahal.
Katanya, ia hasil pemantauan hingga 6 November lepas yang mendapati ayam dijual RM18.90 sekilo di dua daerah itu akibat isu logistik dan bekalan.
Jelas Hasbi, kenaikan harga barang di daerah berkenaan bukan hanya melibatkan ayam, tetapi merangkumi barangan lain termasuk barangan untuk pembinaan seperti simen, besi dan sebagainya sejak dulu lagi.
“Faktor logistik ini kadang-kadang menjejaskan harga projek, projek yang kecil-kecil turut mahal disebabkan harga bahan-bahan pembinaan dan sebagainya.
“Apa yang kita harapkan ialah bagaimana kerajaan boleh melihat perkara ini menangani dan membantu rakyat kita di dua daerah ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mahu pegawai penguatkuasa KPDN Limbang untuk turun padang memantau harga barang keperluan agar tidak berlaku kenaikan hingga membebankan rakyat selain memperbanyakkan Jualan Rahmah. – TVS