SIBU, 12 Nov: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan bersenjata di Jalan Tuanku Osman sehingga mencederakan tiga mangsa berjaya ditahan polis pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, polis turut merampas sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan oleh suspek yang berusia 20 dan 23 tahun itu.
“Akibat kejadian pada Rabu itu, ketiga-tiga mangsa yang berusia berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan di kepala, rusuk kanan dan jari telunjuk.
“Dua masih menerima rawatan di Hospital Sibu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan manakala kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 November depan.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -TVS