KUCHING, 12 Nov: Doktor perubatan tempatan digalak melibatkan diri dalam konferens antarabangsa dan seminar perubatan sebagai usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan perkhidmatan perubatan bagi melonjakkan lagi pelancongan perubatan di Sarawak.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menasihatkan doktor perubatan supaya hadir dalam konferens antarabangsa dan seminar perubatan untuk meningkatkan pengetahuan perubatan di samping dapat berhubungan dengan organisasi perubatan lain.

“Ia akan menaik taraf perkhidmatan perubatan kepada pelanggan. Akhirnya, apabila banyak doktor kita yang pandai dan kompeten maka pelancongan perubatan kita akan bertambah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Klinik Kitak di Metrocity Matang hari ini.
Tambah Mohamad Asfia, pembukaan klinik tersebut menerapkan teknologi perubatan moden untuk pesakit di kawasan itu atau yang lebih jauh dengan harga berpatutan.
Sementara itu, salah seorang pemilik rakan kongsi Klinik Kitak, Dr Siti Hazirah Datuk Sapuan menjelaskan pemilihan nama klinik tersebut bertujuan untuk merasa dekat dan mesra dengan komuniti.

“Oleh itu, saya pilih nama ‘Klinik Kitak’ agar lebih mesra dengan komuniti sekali gus mereka merasa dekat dengan doktor dan tidak berasa takut kerana kami adalah rakan dalam kesihatan,” kata Siti Hazirah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kliniknya dalam usaha dengan pihak kerajaan untuk menjadikan klinik itu di bawah Skim Perubatan Madani.
Untuk rekod, Klinik Kitak menyediakan rawatan seperti kes rawatan umum, rawatan ibu mengandung, khatan, vaksinasi dan lain-lain.
Klinik milik HS Medicare Sdn Bhd itu ditubuhkan pada 18 Oktober 2023 dan dibuka setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 12 malam terletak di Metrocity, Kuching. – TVS