KUNMING (YUNNAN), 10 Nov: Wakil Indonesia pada Jumaat menyeru agar semua negara mendesak Israel menghentikan serangan terhadap Gaza.
Seruan itu dibuat Pengerusi Bahagian Hubungan Luar, Parti Perjuangan Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang juga Lembaga Pimpinan Pusat dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Perundingan Rakyat, Ahmad Basarah pada sesi Dialog Parti Komunis China (PKC) dengan penyertaan parti-parti politik dari Asia Tenggara dan Asia Selatan.
“Serangan Israel menyaksikan ramai nyawa yang terkorban. Jadi saya menyeru agar kita bersama-sama mendesak Israel untuk hentikan serangan,” katanya.
Beliau berkata Indonesia menyokong kemerdekaan Palestin sejak dahulu lagi.
Gaza mula menjadi perhatian dunia sejak serangan terbaru rejim Zionis Israel pada 7 Okt lepas.
Dialog anjuran PKC itu bermatlamat untuk mencapai hasil yang memberi manfaat kepada egara-negara yang terlibat.
Sesi dialog itu menumpukan kepada “Berkongsi Hasil Forum Jalur dan Laluan Untuk Kerjasama Antarabangsa” yang disertai wakil dari 23 parti politik dan 20 organisasi dan institusi dari 18 negara.
Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa PKC Liu Jiamchao menekankan kepada idea-idea yang dikemukakan oleh pemimpin politik semasa seminar dan bengkel yang diadakan pada Khamis.
“Perbincangan itu membawa pelbagai hasil, menunjukkan kerjasama yang kukuh akan membawa banyak manfaat kepada semua negara yang terlibat,” katanya semasa ucaptama.
Liu menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama demi kesejahteraan rakyat dan keperluan untuk memperkukuh kerjasama dalam teknologi hijau, ekonomi, pemerkasaan belia dan inisiatif digital melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Forum bertemakan “BRI: Bagaimana Parti Politik Boleh Memainkan Peranan” menyaksikan peserta sebulat suara bersetuju bahawa BRI memberikan sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Panel itu termasuk Anggota Liga Awami Bangladesh dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Parlimen mengenai Hal Ehwal Luar, Muhammad Faruk Khan; Naib Pengerusi Suruhanjaya Perhubungan Luar Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat Kemboja yang juga Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Negeri, Kerjasama Antarabangsa, Information and Media National Assembly Kemboja, Sous Yara serta Pengerusi Hal Ehwal Luar Dewan Pimpinan Pusat Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia Luluk Nur Hamidah.
Mengenai dakwaan BRI yang dilabelkan sebagai perangkap hutang, Yara berkata inisiatif itu telah membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat Kemboja.
Beliau berkata kekeliruan itu disebabkan oleh maklumat yang salah dalam laporan media dan parti politik seharusnya memberikan penjelasan yang tepat kepada orang ramai. -TVS