TANJUNG MANIS, 10 Nov: Lima sekeluarga hilang tempat berteduh setelah kediaman mereka di perumahan Pustaka di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Tiada korban jiwa dilaporkan dalam kejadian jam 9 pagi itu berikutan semua mangsa tidak berada di rumah namun kesemua harta benda dalam rumah itu hangus terbakar.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.29 pagi.
Sejurus itu, katanya lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30×20 kaki persegi telah terbakar 70 peratus.
“Manakala sebuah kereta jenis Perodua Viva berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba daripada terbakar dengan memecahkan cermin sebelah pemandu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman dilakukan secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ kata Andy bagi mengelakkan kebakaran merebak ke rumah sebelah hingga api berjaya dikawal pada jam 9.44 pagi.
Andy menambah operasi pemadaman ditamatkan pada jam 10.21 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – TVS