LAWAS, 9 Nov: Seorang warga emas dikhuatiri lemas ketika cuba untuk memeriksa paras air yang telah menenggelamkan jalan yang menghubungkan Lawas ke Long Sukong, pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.30 malam susulan kehilangan mangsa, Silas Sudai ,63, semalam.
Azman berkata berdasarkan maklumat awal, rakan mangsa telah datang sendiri ke balai melaporkan seorang lelaki dikhuatiri telah dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat.
“Difahamkan mangsa dipercayai cuba untuk memeriksa paras air yang telah menenggelamkan jalan yang menghubungi Lawas ke Long Sukong, sebelum dihanyutkan arus deras.
“Pencarian awal dilakukan oleh penduduk dan mangsa masih belum dijumpai,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sepasukan anggotanya kini dalam perjalanan ke lokasi yang terpaksa melalui jalan balak dengan permukaan jalan yang lincin serta keadaan hujan renyai sejauh kira-kira 50 kilometer (km) dari balai. – TVS