KUCHING, 9 Nov: Menularkan kesilapan atau perbuatan negatif seseorang menerusi media sosial hanya mencalarkan imej pihak yang terbabit.
Ahli akademik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Noor Hisyam Noor Mohamed berkata penularan video tidak semestinya jalan penyelesaian untuk mengubah mentaliti seseorang.
Malah, perbuatan tersebut tidak semestinya mampu memberikan kesedaran.
“Saya kira tidak semua orang suka ‘diviralkan’. Saya kira kita kena menggunakan medium yang ada sekarang untuk menyebarkan kesedaran dalam mengubah kepada mentaliti kelas pertama.
“Tetapi tidak mungkin ia berkesan sebanyak 100 peratus kerana pada akhirnya ia akan berbalik kepada sistem sokongan dan pendidikan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan temubual terbitan TVS, Dialog TVS ‘Mentaliti Kelas Ketiga, Sampai Bila?’ yang disiarkan malam ini.
Ujarnya, media sosial merupakan satu medium untuk menyemarakkan nilai-nilai murni yang wajar ditanam bermula di rumah dan seawal alam persekolahan.
Turut senada, Presiden Sarawak Eco Warrior, Mark Liao berkata, perbuatan menularkan kelakuan negatif seseorang itu mampu mencalarkan maruah pihak terbabit.
“Suatu ketika dahulu, saya pernah melihat satu video yang memaparkan sebuah kereta diselaputi pelekat hanya kerana kereta tersebut tidak di parkir sempurna sehingga mengundang kemarahan pemandu tersebut.
“Bagi saya, tidak semestinya kita perlu memalukan orang tersebut, tetapi kita harus bekerjasama dan belajar bersama-sama untuk menjadi orang yang lebih baik,” katanya. – TVS