IPOH, 9 Nov: Peniaga putu mayam, Zaidi Zainal Abidin menceritakan dia dan keluarganya berdepan detik cemas apabila tebing bersebelahan rumah yang didiami mereka di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Baru 1, Gugusan Manjoi di sini, runtuh dalam kejadian petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Zaidi, 53, bersama ibunya, Salasiah Baharuddin, 73, serta anaknya Zulfazli Hakimi Zaidi, 20, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zaidi, sebelum kejadian hujan lebat berlarutan sejak 3 petang dan kejadian arus deras di sekitar parit di kawasan rumahnya.
“Ketika itu, saya di ruang tamu bersama anak saya sedang asyik bermain telefon dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat barangan terjatuh di luar rumah yang saya ingatkan ditiup angin.
“Kemudian bunyi jatuhan semakin berlarutan dan apabila saya keluar memeriksa, ada runtuhan tanah bersebelahan rumah. Khemah saya tempatkan barangan berniaga telah jatuh menyembah bumi,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.
Zaidi berkata walaupun masih trauma, beliau bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kecederaan atau insiden yang meragut nyawa.
“Saya maklumkan kepada penghulu untuk meminta bantuan dan kemudian sepasukan bomba hadir ke rumah. Dengan bantuan bomba dan semua pihak van saya berjaya ditarik keluar dari kawasan bahaya.
“Malam semalam dan hari ini pun ramai pihak termasuk pemimpin masyarakat dan wakil Parlimen Tambun hadir termasuk agensi kerajaan. Setakat ini kanvas telah dipasang untuk mengurangkan kesan runtuhan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB), Ir Saiful Azzuan Aznam berkata pihaknya telah mengadakan lawatan ke lokasi kejadian bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membuat penilaian.
“Hasil pemeriksaan mendapati kawasan terbabit bukan di bawah seliaan pihak PEISB namun pihak kita bersama MBI bersetuju untuk memasang kanvas pada cerun yang runtuh bagi mengelak hakisan lebih teruk berlaku.
“Kami juga akan membuat kajian kos pembaikan dan laporan terbabit akan diserahkan kepada pihak MBI untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Saiful Azzuan berkata PEISB juga turut mengambil langkah berjaga-jaga dan pemantauan berkala dilakukan di kawasan cerun berisiko di bawah seliaan mereka.
“Kami sentiasa bersedia terutamanya di kawasan yang dijangka banjir termasuk pembersihan sistem perparitan tersumbat, kejadian pokok tumbang, banjir kilat hingga menyebabkan jalan dinaiki air,” katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melaporkan seorang wanita warga emas antara tiga individu terselamat dalam insiden tanah runtuh di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Baru 1, Manjoi dekat sini.
Bomba kemudian mengarahkan rumah tersebut dikosongkan sementara kerja-kerja menyelamat dilakukan. -TVS