MIRI, 9 Nov: Seorang lelaki warga asing maut akibat kecederaan parah apabila kenderaan pikap yang ditumpangnya hilang kawalan dan terlanggar tembok simen berhampiran Simpang Ngu, Niah di Jalan Pan Borneo dekat sini pada malam Selasa.
Dalam kejadian itu, impak kemalangan telah mengakibatkan mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ladang berusia 32 tahun terbabit dikatakan duduk di luar bahagian pikap tercampak mengakibatkannya cedera parah.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata satu laporan berhubing kemalangan itu telah diterima pihaknya pada kira-kira 9 malam.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan terbabit yang menuju ke Simpang Ngu, Niah itu dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar tembok simen yang diletakkan di sebelah kiri jalan.
“Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang tercampak dari kenderaan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Alexson berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan manakala pemandu berkenaan berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ladang Pelita Ulu Teru, Bakam disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Miri ketika menerima rawatan pada 5.50 petang Rabu,” katanya. – TVS