Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha mengawal kenaikan kos menunaikan ibadah haji dengan memeterai perjanjian kontrak jangka panjang melibatkan perkhidmatan di Arab Saudi. Foto fail: AFP.

TH meterai kontrak jangka panjang untuk kawal peningkatan kos haji

ByBernama

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha mengawal kenaikan kos menunaikan ibadah haji dengan memeterai perjanjian kontrak jangka panjang melibatkan perkhidmatan di Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ia termasuk kontrak melibatkan penginapan, penerbangan serta makanan bagi memastikan harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa, sekali gus tidak dinaikkan setiap tahun.

“Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana terdedah kepada faktor-faktor di luar kawalan Tabung Haji termasuk kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika.

“Selain itu, projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan, turut memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai faktor menyumbang kenaikan kos haji serta serta syarat-syarat dan kelayakan baharu yang ditetapkan.

Di samping itu, katanya terdapat juga caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.

Beliau berkata kenaikkan kadar cukai tambah nilai di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula bulan Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata kos haji, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan setelah perbincangan menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan Tabung Haji.

Beliau berkata sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, Tabung Haji akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji Muassasah yang layak.

Pada masa sama beliau berkata syarat dan kelayakan untuk mengerjakan haji pada tahun 1445H adalah sama seperti musim haji 1444H lepas, melainkan jika ada peraturan baharu yang dikuatkuasakan Kerajaan Arab Saudi.

Mohd Na’im berkata syarat itu termasuk tiada had umur ditetapkan oleh Arab Saudi bagi bakal jemaah menunaikan haji dan mereka juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan dengan kriteria dan garis panduan kesihatan yang ditetapkan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan