KUCHING, 8 Nov: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan mengukuhkan kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam pengurusan minyak dan gas di Sarawak.
Komitmen itu merupakan antara perkara dibincangkan antara kerajaan negeri Sarawak dan Petronas pada Dialog Strategik Tahunan Sarawak-Petronas (ASD) di Kuala Lumpur hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dialog itu turut membincangkan inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak Petronas dalam bidang pendidikan.
“Kita turut membincangkan kerjasama antara Petronas dan Petros dalam menguruskan bidang minyak dan gas termasuk offshore exploration,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Beliau berkata Sarawak juga bersedia untuk bekerjasama dengan Petronas dalam meneroka pengeluaran tenaga alternatif selain daripada minyak dan gas.
“Kita mahu bekerjasama di luar bidang minyak dan gas kerana sekarang ini kita menghadapi masalah iklim dan kita ada tenaga alternatif seperti hidrogen.
“Kita boleh berbincang bersama untuk menerokai tenaga-tenaga lain, selain daripada minyak dan gas kerana saya berpendapat bahawa nilai minyak dan gas akan menurun dari konteks global business sebab wujudnya tenaga alternatif yang akan digunakan oleh industri,” katanya.
Selain Abang Johari, dialog itu turut dihadiri Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. -TVS