KUCHING, 8 Nov: Gara-gara terpedaya dijanjikan kemenangan tiket loteri berjumlah RM300,000, seorang lelaki warga emas kerugian RM120,000.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia lewat 70-an dari Sibu membuat laporan berhubung kes itu semalam.
“Menurut mangsa, dia didatangi tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tidak dikenali semasa berada di tempat meletak kenderaan berhampiran sebuah hotel di daerah Kanowit, pada awal November lalu.
“Suspek menyatakan dia telah memenangi tiket loteri berjumlah RM300,000 dan salah seorang suspek wanita kemudian meminta nombor akaun bank mangsa untuk digunakan bagi tujuan kemasukan wang kemenangan tiket loteri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dijanjikan akan diberikan wang berjumlah RM200,000 tetapi suspek meminta mangsa menyerahkan wang berjumlah RM120,000 terlebih dahulu kepada mereka dan mangsa bersetuju dengan tawaran suspek.
“Mangsa seterusnya telah dibawa ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kenderaan menuju ke bandar Sibu kononnya untuk urusan pembayaran wang kemenangan tiket loteri.
“Apabila sampai di sebuah premis nombor ramalan yang terletak di bandar Sibu, suspek lelaki telah berjalan menuju ke premis tersebut untuk membuat semakan tiket kemenangan,” ujarnya.
Katanya, selepas itu, mangsa telah dibawa oleh ketiga-tiga suspek untuk mengeluarkan wang berjumlah RM119,000 dari akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan akaun simpanan miliknya di sebuah institusi kewangan di bandar Sibu.
“Selepas mengeluarkan wang simpanan, mangsa telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM120,000 kepada seorang suspek wanita sebelum mangsa dihantar balik ke pekan Kanowit.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan akaun di sebuah institusi kewangan di bandar Sibu beberapa hari kemudian dan mendapati tiada kemasukan wang berjumlah RM300,000 seperti yang dijanjikan oleh ketiga-tiga suspek,” jelasnya.
Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- TVS