SIBU, 7 Nov: Seorang pemandu wanita maut manakala adiknya patah tangan kanan selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di dalam parit besar di Jalan Salim-Sabau di sini, tengah hari tadi.
Mangsa, Agnes Ha Dung Yieng, 42, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sibu pada jam 2.41 petang.
Bagaimanapun, adiknya berusia 17 tahun masih menerima rawatan lanjut di hospital yang sama.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 12.13 tengah hari.
Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja penyelamatan.
“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Toyota Innova telah terbabas dan terbalik di dalam parit besar.
“Pihak kami juga difahamkan pemandu kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan pulang setelah mengambil adiknya dari sekolah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam terlebih dahulu sebelun ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Pemandu kenderaan didapati separuh sedar dan berada dalam keadaan separa kritikal manakala seorang lagi mengalami patah tangan kanan.
Katanya, kedua-dua  mangsa telah diserahkan kepada pasukan ambulans Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 12.55 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili mengesahkan satu laporan telah diterima berhubung kejadian.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS