KUALA KANGSAR, 7 Nov: Polis memberkas tiga lelaki di Shah Alam, Selangor kira-kira tiga jam selepas kejadian rompakan barang kemas bernilai RM1.4 juta di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner (ACP) Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek warga tempatan berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.10 petang selepas usaha memburu suspek dijalankan.
“Buat masa ini barang kemas berkenaan belum ditemui dan polis sedang berusaha mengesannya.
“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.
Semalam, media melaporkan, dua pekerja kedai emas berdepan detik cemasa apabila barang kemas bernilai RM1.4 juta yang dibawa dengan sebuah kereta dirompak sekumpulan lelaki bertopeng berdekatan sebuah kedai emas di sini.
Polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa kira-kira pukul 11.20 pagi.
Suspek didakwa memecahkan cermin kereta yang dinaiki jurujual kedai barang kemas tersebut menggunakan tukul dan parang.
Insiden itu mendapat perhatian orang ramai apabila rakaman video yang menunjukkan tiga lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng melarikan beg-beg disyaki berisi barang kemas dengan dua kenderaan tular di media sosial. – TVS