KUALA LUMPUR, 7 Nov: Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan (No. 2) 2023 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong yang membentangkan RUU tersebut berkata bacaan kali kedua turut dijadualkan berlangsung pada sesi kali ini.
Menurut dokumen yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, RUU tersebut antara lain bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53); Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (Akta 169); Akta Setem 1949 (Akta 378); Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 (Akta 543); Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Akta 445); dan Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103).
Selain itu, ia juga bertujuan meminda Akta Kastam 1967 (Akta 235); Akta Eksais 1976 (Akta 176); Akta Levi Kenderaan Barang-Barang 1983 (Akta 294); Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 (Akta 592); Akta Cukai Pelancongan 2017 (Akta 791); Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806); Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) dan Akta Levi Pelepasan 2019 (Akta 813).
Secara keseluruhan, RUU tersebut mengandungi 97 pindaan terhadap akta-akta yang dinyatakan.
Untuk rekod, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Kewangan 2023 bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai selain melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai pada 3 April lepas.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 berlangsung dari 8 Okt hingga 30 Nov depan. -TVS