KUCHING, 7 Nov: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak digesa untuk mengguna pakai teknologi digital dan automasi bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Pengerusi Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, PKS di Sarawak masih lagi menumpu kepada pasaran tempatan.
“Selepas mengaplikasi semua teknologi baharu, syarikat-syarikat ini tentu akan memerlukan pasaran yang besar.
“Justeru, mereka harus memikirkan bagaimana untuk memperluaskan perdagangan ke pasaran luar,” katanya.
Beliau ditemui TVS pada majlis perasmian Forum Automasi & Digital MIDF – Perjalanan Bersama (Edisi Sarawak) di sini, hari ini.
Ujarnya, kerajaan kini telah menandatangani beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi membantu PKS menembusi pasaran eksport.
“Bagaimanapun, PKS mungkin tidak menyedari peluang yang wujud melalui perjanjian ini.
“Jadi MIDF bersama kementerian peringkat Persekutuan dan negeri bersama sektor swasta bekerjasama merangka strategi bagi PKS untuk berkembang ke arah eksport,” katanya.
Forum itu disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
“Apabila kita bercakap mengenai automasi, digitalisasi dan Industri 4.0, kita mesti bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran.
“Hal ini juga akan membuatkan kita lebih progresif dan berdaya saing,” ujar Dr Malcolm dalam ucapan beliau.
Forum itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai sokongan yang disediakan kerajaan bagi membantu pemain industri tempatan ke arah automasi dan mengguna pakai Industri 4.0 dan teknologi digital dalam perniagaan mereka.
Antara dana yang disediakan MIDF kepada PKS adalah Skim Pembiayaan Mudah bagi Automasi dan Pemodenan (SFSAM) dan Skim Pembiayaan Mudah untuk Digital dan Teknologi (SFDT).
Dana berkenaan menawarkan pembiayaan sehingga RM20 juta bagi perbelanjaan aset seperti bangunan komersial, mesin dan peralatan serta modal kerja manakala kadar pembiayaannya pula tetap dan serendah empat peratus setahun
MIDF juga baharu sahaja melancarkan sistem Kelulusan Laluan Pantas bagi permohonan pembiayaan modal kerja sehingga RM150,000 pada kadar pembiayaan empat peratus tanpa sebarang cagaran dengan kelulusan bersyarat dalam tempoh tiga hari bekerja. -TVS