KUCHING, 7 Nov: Sarawak bercadang untuk memperluaskan konsep Pelan Induk Bandar Pintar Kuching ke bandar lain di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan pelan induk yang mempertimbangkan mobiliti rendah karbon dan infrastruktur bandar pintar itu wajar diperluas bagi mengimbangi kelestarian alam sekitar dan perbandaran.
“Kami sedang berusaha untuk beralih daripada ekonomi linear kepada ekonomi sekular yang meminimumkan sisa dan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada.
“Ekonomi yang rendah karbon, inklusif dari segi sosial yang menyokong kemampanan melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan sisa dan pencemaran,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa perasmian Malaysia Urban Forum 2023 (MUF2023) hari ini.
Sebagai langkah untuk mendepani perubahan iklim, Abang Johari berkata, Sarawak telah menghasilkan stesen pengisian semula hidrogen bersepadu yang pertama di Asia Tenggara.
Katanya, rancangan untuk pengeluaran secara komersial besar-besaran sedang dilaksanakan dan eksport hidrogen menjelang 2027.
“Sistem pengangkutan juga penting dalam meneraju produktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat. Misalnya Kuching Urban Transportation System (KUTS) telah dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar utama.
“Penggunaan Autonomous Rapid Transit (ART) yang menggunakan hidrogen merupakan usaha yang sejajar dengan Sustainable Development Goals (SDG) sebagai langkah untuk memperkasa pengangkutan awam yang mampan seiring dengan isu perubahan iklim di samping memacu penggunaan kenderaan sifar pelepasan karbon,” ujarnya.
Beliau berkata, pengurusan bandar yang mampan wajar diberi perhatian kerana secara global hampir 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijana di bandar.
“Ia akan menjadi sukar untuk mana-mana negara mencapai pendapatan sederhana atau lebih sekiranya pengurusan bandar tidak di landasan yang betul.
“Bandar juga menggunakan sekitar 70 peratus daripada tenaga dan menyumbang hampir 80 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau,” ujarnya.-TVS