LIMBANG, 7 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta untuk meneliti pendekatan terbaik mengurangkan kenaikan harga barangan keperluan termasuk ayam mentah di Limbang dan Lawas yang dilaporkan mahal oleh penduduk di sini.
Rata-rata penduduk di kedua daerah itu senada agar kerajaan mengambil langkah segera untuk memastikan barangan keperluan kekal pada harga munasabah.
Menurut mereka lagi kenaikan harga barangan terutama ayam mentah susulan penarikan subsidi tersebut telah memberi impak dan tekanan yang amat tinggi kepada kehidupan rakyat.
Difahamkan ayam dijual pada harga RM18.90 sekilogram di dua daerah itu yang disifatkan amat membebankan susulan isu logistik dan bekalan.
Menurut Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada perkara paling asas dalam kehidupan rakyat iaitu mengawal kenaikan harga barangan keperluan asas termasuk melakukan intervensi pemantauan berterusan.
“KPDN perlu melakukan intervensi termasuk pemantauan pegawai-pegawai kementerian ini untuk memantau harga yang telah dijual di pasar-pasar dan sebagainya,” katanya ketika ditemui TVS di pejabat PML di sini hari ini.
Jelas Mohamad lagi, pelaksanaan Jualan Rahmah secara kerap juga mampu meringankan beban rakyat yang terkesan melalui penurunan harga berbanding jualan biasa.
“Program Jualan Rahmah ini penting, kalau kita lihat trend yang ada sekarang di seluruh Malaysia program ini mampu meringankan beban rakyat dan mungkin harga ini diturunkan sekurang-kurangnya 10 hingga 30 peratus daripada harga sebenar,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, penamatan subsidi harga ayam tidak membawa kesan kepada penduduk di Semenanjung Malaysia kerana harga ayam dijual di sana sekitar RM5 sekilogram lebih berbanding harga ayam di Limbang dan Lawas yang mencecah RM18.90 sekilogram.
Keadaan itu katanya amat membebankan masyarakat di utara negeri ini yang tidak mempunyai ladang ayam segar dan bergantung kepada ayam beku yang dijual di pasaran.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kontraktor Daerah Limbang, Rosli Amat mencadangkan kerajaan agar melakukan perbincangan dengan negara jiran Brunei Darussalam bagi mengurangkan cukai mahupun kos pengangkutan khusus yang membawa barang keperluan memasuki daerah Limbang dan Lawas.
Pada masa sama katanya, Kerajaan Persekutuan juga dicadangkan untuk memperkenalkan subsidi khas bagi daerah Limbang dan Lawas yang berdepan isu logisitik dan bekalan berbanding di kawasan lain.
Tambah rosli, sekiranya kedua cadangan ini dilaksanakan harga barang akan dapat di kurangkan ataupun setara dengan harga barangan runcit di daerah lain.
Pada Isnin yang lalu, Pemangku Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali dipetik sebagai berkata kementeriannya mendapati harga ayam di Lawas dan Limbang, Sarawak paling mahal.
Katanya ia hasil pemantauan dari 1 November hingga Isnin yang mendapati ayam dijual RM18.90 sekilogram di dua daerah itu akibat isu logistik dan bekalan. – TVS