Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto: Bernama

KKDW sasar KEMAS lahirkan 100,000 HUFAZ cilik menjelang 2026 – Ahmad Zahid

ByBernama

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yakin Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mampu melahirkan generasi celik al-Quran menerusi Program Pra Tahfiz Tabika KEMAS, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata menerusi program itu 100,000 kanak-kanak huffaz akan dilahirkan menjelang 2026.

Beliau berkata pembentukan umat penghafaz al-Quran boleh membawa impak kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

“Pengisian Modul Pra Tahfiz Tabika KEMAS merujuk sepenuhnya Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang dengan teknik hafazan dan kaedah pembelajaran secara fun learning dan bagi surah-surah dalam juzu’ amma dan surah pilihan (Juzuk 30) dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur.

“Modul Pra Tahfiz Tabika KEMAS ini menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 1,500 orang kanak-kanak yang mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha serta bersedia masuk ke Tahun Satu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara KEMAS dan Yayasan Pahang yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS di Kampung Seri Batu, Sentul di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian MoA itu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang.

Ahmad Zahid berkata menerusi MoA itu, kerjasama antara KEMAS dan Yayasan Pahang akan melibatkan penggunakan Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), khidmat nasihat, perakuan sijil kompetensi kepada pengajar, perakuan sijil tamat modul kepada pelajar Tabika KEMAS, penubuhan Jawatankuasa Pemantauan KEMAS-Yayasan Pahang, dan penyediaan tenaga pengajar.

“Kerjasama ini turut melibatkan Yayasan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membantu dalam memberikan latihan kemahiran asas al-Quran seperti tajwid dan mahraj kepada pendidik Tabika KEMAS secara berkala di peringkat Parlimen atau negeri seluruh Malaysia,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Tabika KEMAS. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan