KUCHING, 7 Nov: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan kesediaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan dan pembangunan Gaza selepas perangnya dengan Hamas berakhir.
Bagaimanapun pemimpin rejim zionis itu tidak menyatakan tempoh siri keganasan yang dilancarkannya akan berakhir dan ia seakan menggemakan semula suara Amerika Syarikat ketika melancarkan serangan ke atas Iraq pada 20 Mac 2003.
Netanyu pada Isnin sekali mengulangi kesan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu telah menyebabkan 1,400 individu terkorban dan kebanyakannya orang awam serta menyaksikan lebih 240 tebusan diculik.
Pada masa sama beliau turut menafikan angka korban yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin serta tidak mengendahkan gesaan gencatan yang digesa dilakukan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Gutteres.
“Israel menepis dakwaan angka kematian yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk angka korban yang mencecah beribu-ribu pejuang Palestin.
“Walaupun terdapat gesaan untuk gencatan senjata daripada Antoni, tambahnya, beliau tidak akan akur dengan desakan tersebut.
“Tidak akan ada gencatan senjata di Gaza tanpa pembebasan tebusan kami,” katanya ketika ditemu bual oleh media tempatan pada Isnin.
Tambahnya lagi, Israel turut bersetuju untuk berhenti seketika bagi membenarkan bantuan kemanusian masuk ke Gaza.
Pengeboman Israel di seluruh Gaza berterusan apabila jumlah kematian di wilayah Palestin yang dikepung mencecah sekurang-kurangnya 10,022 sejak 7 Oktober lalu.
Kira-kira 70 peratus penduduk Gaza dipindahkan secara paksa ekoran pengeboman Israel dan pencerobohan darat yang berterusan. -TVS