KUCHING, 7 Nov: Pemilik skim rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diingatkan agar tidak menjual atau menyewakan kediaman mereka kepada pihak lain, tegas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“…rumah mampu milik ini sebenarnya ada subsidi dari kerajaan, maka pembeli rumah ini tidak boleh menjualnya dalam tempoh lima tahun.
“Namun, ada pihak yang mengambil kesempatan apabila mendapat rumah mampu milik ini, terus menjualnya dan ia sebenarnya salah di sisi undang-undang. Saya juga dapati ada yang menyewakan rumahnya kepada orang lain. Kita menggalakkan pelaburan yang sihat tetapi tidak dengan memanipulasi subsidi oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melawat Residensi Bintawa Riverfront, Kuching di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan juga para pemilik untuk peka terhadap tanggungjawab membayar kos penyelenggaraan kediaman masing-masing.
Perkara itu menurutnya bertujuan agar mereka dapat memudahkan urus tadbir dan penyelenggaraan yang berterusan.
“Saya ingin mengingatkan penduduk di residensi agar menjalankan tanggungjawab bagi membayar penyelenggaraan bagi menikmati kemudahan yang lebih baik kerana terdapat lebih 30 peratus penduduk yang lupa membayarnya.
Terdahulu lawatan beliau turut menyaksikan penerapan elemen kelestarian dan kemampanan di projek-projek perumahan yang dibangunkan oleh Perumahan PR1MA, khasnya di bandaraya Kuching.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Kemampanan Persekitaran) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Saidatu Akhma Hassan, serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Anggota Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff. – TVS