KUCHING, 6 Nov: Kerajaan Terengganu ingin meneroka industri tenaga mampan, terutama dalam penangkapan karbon seperti dilakukan Kerajaan Sarawak.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata aktiviti penangkapan karbon relevan di negeri pantai timur itu sesuai dengan statusnya sebagai pengeluar minyak.
“Di Terengganu kita mempunyai banyak telaga minyak yang tidak digunakan dan dari sini kita ingin belajar apa yang dilaksanakan oleh Sarawak.
“Dengan penelitian lebih lanjut, saya harap kita akan berjaya mencapai sesuatu melalui kunjungan hormat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata lagi, persetujuan juga telah dicapai di peringkat jawatankuasa antara kedua-dua kerajaan negeri untuk meneroka aspek penjanaan tenaga mampan lain seperti hidrogen.
Tegasnya, beliau menjelaskan kepada Abang Johari bahawa Terengganu bukan hendak bersaing dengan Sarawak dalam soal penghasilan tenaga boleh diperbaharui.
“Daripada menjadi pesaing, lebih baik jika kita menjadi rakan pelengkap dalam usaha ini untuk mencapai objektif yang sama dalam menerajui Malaysia sebagai hab tenaga yang penting untuk wilayah serantau,” katanya.
Sebelum ini, Abang Johari menyampaikan taklimat mengenai pencapaian ekonomi Sarawak kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – TVS