KUCHING, 6 Nov: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Negeri di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Hadir sama, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Puteri Sarawak’ disusuli persembahan hiburan lain seperti tarian etnik Sarawak dan ‘Joget Nopeng’ Sarawak.
Majlis Santapan Negeri diadakan sempena lawatan pertama pasangan diraja berkenaan ke Kuching yang bermula Sabtu lepas.
Hari ini, rombongan diraja berkunjung ke Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Kubu Margherita dan Juma’ani Pavilion.
Semalam, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat menyaksikan Regatta Sarawak 2023 dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Rombongan diraja dijadual berangkat pulang ke Selangor 11:30 pagi esok dengan menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. – TVS