KUCHING, 6 Nov: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah hari ini berkenan berangkat melawat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak (PKKMS) di sini.
Keberangkatan tiba baginda bertiga sekitar 11 pagi disambut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Pengarah PKKMS Mohd Fu’ad Ariffin.
Sejurus tiba, baginda menandatangani buku pelawat dan seterusnya dibawa melawat ke galeri dan pameran seni hasil kraf tangan dan songket sambil mendengar taklimat ringkas mengenai hasil tekstil tenunan dan songket.
Seterusnya, baginda turut bersempatan melihat tenunan songket.
Selesai lawatan, baginda berdua bersama-sama dengan Tengku Amir Shah meneruskan lawatan ke Kubu Margherita.
Rombongan berkenaan meneruskan lawatan ke Juma’ani Pavilion. – TVS